PUTRAJAYA: Malaysia melihat kempen anti-minyak sawit sebagai merosakkan hubungan perdagangan dan bercanggah dengan prinsip dagangan bebas, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Malaysia komited terhadap kerjasama pelbagai hala dan kepentingan inisiatif ke arah meningkatkan liberalisasi menerusi sistem dagangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Malaysia melihat kempen dan resolusi anti-minyak sawit sebagai merosakkan hubungan perdagangan dan bercanggah dengan prinsip perdagangan bebas.

"Negara ini telah mengekalkan 55.3 peratus kawasan tanahnya di bawah litupan hutan rimba yang melebihi komitmen Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Pembangunan G7 yang diadakan secara hibrid di sini.

Semasa mesyuarat ASEAN-G7, Saifuddin menggalakkan kerjasama mengenai perubahan iklim antara ASEAN dan G7 untuk menyokong pelaksanaan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris selaras dengan prinsip ekuiti, dan 'kesaksamaan berlandaskan kepada prinsip 'tanggungjawab bersama, beban berbeza dengan keupayaan sendiri'.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berhubung mesyuarat itu, di sini pada Isnin, memaklumkan mesyuarat ASEAN-G7 merupakan penglibatan pertama ASEAN dengan G7, yang terdiri United Kingdom (UK) (selaku Pengerusi G7), Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat.

Pelbagai isu telah dibincangkan antara lain mengenai perdagangan dan pelaburan, teknologi digital, keselamatan siber, pembangunan infrastruktur mampan, kesihatan awam dan keselamatan serantau dan ASEAN turut mengesahkan sokongan untuk Kepusatan ASEAN dan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).

Mesyuarat itu juga mengambil maklum bahawa semua ahli G7 kini telah menjadi Rakan Dialog atau Rakan Pembangunan ASEAN, berikutan penerimaan UK sebagai Rakan Dialog ASEAN pada awal tahun ini

Selain mesyuarat ASEAN-G7, menurut Wisma Putra, Saifuddin turut menyertai sesi tematik mengenai "Indo-Pasifik: Infrastruktur, Teknologi dan Keselamatan Bersama" dan "Vaksin dan Keselamatan Kesihatan Global" yang menyaksikan beliau mengulangi pendirian Malaysia mengenai situasi di Myanmar.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan ahli G7 terhadap usaha ASEAN berkaitan dengan Konsesus Lima Perkara ASEAN.

Saifuddin turut menyeru kerjasama dalam pembinaan kapasiti untuk mencegah, memerangi dan membanteras kegiatan jenayah di laut.

"Malaysia juga mengulangi sekali lagi mengenai pendirian di Laut China Selatan dan menekankan kepentingan mengekalkan Laut China Selatan sebagai lautan perdagangan dan kemakmuran," katanya.

Pada masa sama beliau menyeru kerjasama ASEAN-G7 mengenai ekonomi digital sebagai pemacu utama bagi pemulihan pasca pandemik yang berdaya tahan dan mampan serta menekankan keperluan memberi tumpuan kepada infrastruktur dan teknologi, bakat, kandungan dan kos.

Pada sesi tematik vaksin, Malaysia mengalu-alukan komitmen G7 untuk mempercepat bekalan vaksin khususnya untuk negara-negara miskin melalui COVAX.

Malaysia juga menyambut baik inovasi untuk menghasilkan vaksin yang lebih berkesan terhadap jangkitan COVID-19 serta ancaman kesihatan masa depan serta memastikan vaksin diagihkan secara adil dan saksama kepada semua, termasuk melalui perkongsian dos, pengukuhan dan pembukaan rantaian bekalan, serta pengembangan kapasiti pengeluaran vaksin

-- BERNAMA